Pelakon terkenal tanah air, Zizan Raja Lawak terpaksa menelan air liur apabila melihat juadah sate yang dibuat neneknya pada setiap tahun sempena Hari Raya kerana tidak dapat menikmatinya akibat alahan.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 28, berkata, dia akan mengalami alahan pada seluruh badan manakala matanya akan bengkak setiap kali menikmati makanan itu bersama kuahnya.
"Sate adalah antara makanan kegemaran saya yang dimasak nenek setiap tahun. Tapi sekarang ini saya dah tak boleh makan kerana kuah kacangnya membuatkan saya akan mengalami alahan seluruh badan.
"Ia mampu mengganggu tekak dan mata pula akan bengkak. Pelik pula rasanya, bila dah jadi artis, tiba-tiba tak boleh nak makan kuah kacang, ngada-ngada betul saya ini," selorohnya.
Tambah Zizan, walaupun dia boleh menikmati sate tanpa kuahnya bagi menghilangkan kempunan, namun ia tidak akan berasa sedap dan seperti kekurangan sesuatu.