PELAJAR SENIOR PAKSA BOGEL, RAKAN TERLAMPAU | Isu Semasa - “Anak saya dimalukan, dipaksa telanjang sebelum seorang
pelajar merakam gambar bogelnya menggunakan telefon bimbit dengan alasan
bergurau. Lebih mengecewakan, kejadian itu berlaku Februari lalu dan
hanya diketahui apabila telefon bimbit pelajar berkenaan dirampas warden
pada 30 September lalu.”
Demikian kata bapa pelajar lelaki berusia 13 tahun yang kesal
dengan sikap sambil lewa pengurusan sebuah sekolah menengah di sini,
yang didakwanya tidak mengambil tindakan terhadap aduannya berhubung
kejadian itu.
Bapa berusia 36 tahun itu berkata, dia hanya mengetahui mengenai
rakaman video bogel anak lelakinya itu selepas isterinya dimaklumkan
anaknya dipanggil Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Pelajar (PKHEP) pada 1
Oktober lalu berhubung kejadian buli di asrama sekolah berkenaan.
Menurutnya, ketika itu, anaknya baru sebulan tinggal di asrama dan
difahamkan kejadian berlaku ketika dia ke tandas dengan memakai tuala
sebelum dipanggil pelajar senior dan dipaksa berbogel sebelum disepak
berulang kali.
“Pada keesokan hari, isteri saya bertemu pengetua untuk melihat
rakaman telefon bimbit itu dan dimaklumkan seorang pelajar tingkatan
lima terbabit perbuatan itu, tetapi beliau enggan membenarkan isteri
melihat rakaman berkenaan dengan alasan telefon itu kehabisan bateri.