TOYOTA ALPHARD RENTUNG LANGGAR LEMBU - Perjalanan sebuah keluarga termasuk tiga kanak-kanak pulang ke Johor
selepas membeli-belah di bandar raya ini, bertukar detik menakutkan
apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dinaiki mereka
merempuh seekor lembu sebelum terbabas dan terbakar di Lebuh Alor
Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berdekatan persimpangan Telok Mas,
dekat sini, malam kelmarin.
Kemalangan kira-kira jam 11 malam itu turut menyebabkan lembu
berkenaan mati di tempat kejadian. Menceritakan detik cemas itu,
mangsa, Lim Yok Chin, 46, berkata dia yang memandu kereta berkenaan baru
selesai membeli-belah bersama enam ahli keluarganya termasuk tiga
kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 10 tahun di sebuah pusat
beli-belah terkemuka. “Setibanya di lokasi kejadian, saya yang
berada di lorong kiri dipotong sebuah kenderaan lain sebelum terkejut
melihat seekor lembu tiba-tiba muncul atas jalan.
“Pada
waktu itu, saya gagal mengawal kereta lalu melanggar binatang berkenaan
sebelum terbabas. Sejurus rempuhan, saya mendapati enjin turut berasap
dan segera mengarahkan semua ahli keluarga keluar menyelamatkan diri,”
katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, kelmarin.
Menurut ahli perniagaan itu, dalam tempoh 10 minit, kereta miliknya
terbakar dan mereka hanya mampu melihat berikutan api terlalu marak.
“Apabila diperhatikan, saya mendapati lembu yang dilanggar turut
mati dan tidak pasti sama ada ia tercampak atau sebaliknya berikutan
kejadian berlaku begitu pantas. “Saya gagal menyelamatkan apa-apa
di dalam kereta termasuk barangan terutama tilam yang baru dibeli. Nilai
semua barangan itu dianggarkan RM1,300,” katanya yang menetap di Muar.
Kata Lim yang masih terkejut dengan kejadian itu, kereta berkenaan dibeli dua tahun lalu dengan harga RM180,000.
“Walaupun mengalami kerugian, saya bersyukur kerana kami sekeluarga
terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ini.
“Selain itu, saya berterima kasih dengan keprihatinan orang awam
yang membantu menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya
yang turut meminta pihak berkaitan berbuat sesuatu bagi mengelak
kejadian sama berulang.