4 POLIS DIBELASAH TAHANAN, DISEMBUR SERBUK LADA - Empat anggota polis cedera dibelasah sembilan tahanan ketika dalam
perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth dalam kejadian kira-kira jam
9 pagi semalam.
Kesemua mereka akan menghadapi prosiding perbicaraan pagi semalam.
Tahanan berkenaan kemudiannya meninggalkan empat anggota pengiring itu
di tepi jalan sebelum bertindak melarikan van polis dinaiki untuk
meloloskan diri.
Dalam kejadian di susur keluar ke Pantai Bersih itu, pemandu van polis
berkenaan yang dikenali sebagai Nazzwan cedera parah di kepala akibat
dihentak dengan gari.
Manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ringan di kepala dan
beberapa bahagian badan masing-masing selepas dibelasah tahanan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian
itu berlaku ketika keempat-empat anggota polis dari unit pengiring Ibu
Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) dalam perjalanan ke
Mahkamah Butterworth.
“Kesemua mereka dalam keadaan bergari diambil sebelumnya dari Penjara
Pulau Pinang untuk proses reman dan pertuduhan berkaitan kes bunuh,
samun dan mencederakan orang.
“Pemandu van ditemani seorang anggota duduk di hadapan manakala dua
anggota pengiring duduk di bahagian hadapan tengah van mengawasi semua
tahanan yang ditempatkan di bahagian belakang,” katanya.
Menurut Datuk Abdul Rahim, ketika van melalui Lebuhraya Lingkaran Luar
Butterworth (LLB) berhampiran Bagan Ajam, beberapa OKT (orang kena
tuduh) berpura-pura bergaduh sesama sendiri menyebabkan pemandu van
memberhentikan kenderaan itu bagi meleraikan pergaduhan tersebut.
“Ketika itulah salah seorang OKT melempar serbuk cili ke arah salah
seorang anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan antara polis dan
OKT.
“Pada masa yang sama, beberapa orang OKT bertindak menendang kesemua
anggota polis berkenaan keluar dari kenderaan itu selain membelasah
mereka di tepi jalan,” katanya.
Rahim berkata, OKT terbabit kemudiannya merampas kunci gari dari salah
seorang anggota polis sebelum menaiki semula van dan melarikan diri
bersama kenderaan itu.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ)
dekat sini semalam ketika melawat keempat-empat mangsa berkenaan yang
menerima rawatan.
Kejadian yang berlaku kira-kira dua kilometer dari Kompleks Mahkamah
Butterworth itu bagaimanapun sempat dilihat oleh pengguna jalan raya
yang kemudiannya memberikan bantuan kecemasan kepada anggota terbabit
sebelum semuanya dihantar mendapatkan rawatan ke HSJ kemudiannya.
Menurut Abdul Rahim lagi, sejurus menerima laporan berhubung kejadian
itu, polis telah melancarkan gerakan mengesan van dan OKT yang terlibat.
“Tidak sampai 30 minit selepas operasi dilancarkan, pihak kita menemui
semula van itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Cempedak, Tasek
Gelugor iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.
“Semasa ditemui dua OKT masih berada di lokasi van itu dan tidak
mengikuti tujuh rakan mereka yang dipercayai melarikan diri ke kawasan
ladang kelapa sawit di sekitar kampung berkenaan,” katanya.
Menurutnya, polis kini menjejaki Mohd Sharimy Md Nor, 28; Farid Akhtar
24; Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 25; Hamizani Harun, 37; Hisham Abd
Rahman, 39; Mohd Fairuz Adam, 31; dan Mohd Noor Mustafa, 28.
“Kita telah melancarkan gerakan mengesan kesemua OKT yang melarikan
diri termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di
sekitar Tasek Gelugor.
“Kita juga minta kerjasama orang awam melaporkan kepada polis sekiranya
mereka ternampak atau mengetahui lokasi OKT ini bersembunyi dan jangan
mengambil tindakan sendiri atau cuba menahan kerana mereka merbahaya,”
katanya.
Rahim menambah, keempat anggota polis berkenaan akan dirakam keterangan
bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 223 Kanun
Keseksaan kerana cuai dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan
tahanan lari dari jagaan yang sah.
Manakala tujuh suspek terbabit dicari untuk membantu siasatan di bawah
Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan mencederakan.
Katanya, jika kelalaian menjadi puncanya hingga OKT terbabit berjaya
meloloskan diri pihaknya akan mengambil tindakan ke atas empat anggota
pengiring terbabit.