Terdapat sebuah kisah mengenai seorang bayi kecil yang terkena badi
mayat apabila salah seorang dari ahli keluarganya telah menziarahi
jenazah yang telah meninggal dunia di salah satu tempat. Kemudian
apabila pulang tempat ziarah, ia terus menegur bayi yang dimaksudkan
ini. Ikuti kisah ini yang mungkin boleh kita jadikan iktibar di kemudian
hari.
Tragedi ini menimpa bayi perempuan saya, ketika itu masih berusia 7
bulan. Memang tidak bermaya, tidak tidur, tidak menangis, tidak ketawa,
tidak makan. Ibu mana yang mampu menahan bila keadaan anak begitu. Saya
bersama suami sering lakukan solat hajat untuk meminta Allah lindungi
dan pelihara kesihatan dan kesejahteraan kami sekeluarga. Masa berlalu
sehinggalah rumah ibu di datangi seorang lelaki yang agak berusia lewat
50 an dan memperkenalkan dirinya sebagai Cik Man, seingat saya waktu itu
Hari Raya Aidil Adha.
Sesungguhnya kami sekeluarga memang tidak
mengenali dan tidak pernah pula berkenalan dengan lelaki tersebut. Cik
Man tu kata selepas beliau selesai solat Asar tak tahu pulak gerakan
hati untuk ke rumah itu (rumah ibu). Beliau terus saja menjengah ke
buaian anak saya sambil mengucap panjang. Beliau terduduk sambil
memadang wajah seorang demi seorang. Beliau kata di dalam buaian itu
bukannya anak saya tetapi wajah perempuan tua yang hampir kecut.
Ya
Allah ! Waktu itu rasanya kaki saya tidak mencecah kebumi, terasa
terlerai segala sendi yang ada. Cik Man tu menawarkan diri untuk
mengubat bayi saya selama tiga hari (itu pun dengan izin dari
Allah…katanya).
Dia meminta saya mendapatkan air lebihan mandian
jenazah (air yang masih ada di dalam getah) dengan syarat yang meninggal
mestilah seorang lelaki (sebab yang menumpang pada bayi saya adalah
badi daripada mayat perempuan tua dan bukannya satu tetapi tujuh, benda
tu menghuni di setiap sendi bayi perempuan saya) jika saya terlewat bayi
saya mungkin turut meninggal.
Kerana terlalu risaukan
keselamatan bayi saya, sehinggakan saya berdoa agar adalah orang yang
meninggal pada hari itu. Hampir tiga jam saya bersama suami bertanya ke
sana-sini, mencari rumah orang yang ada kematian. Dgn izin Allah saya
terjumpa petang itu, Alhamdulilah. Petang itu Cik Man ke masjid dan dia
hanya berpesan agar bayi saya yang sekecil itu dimandikan dengan
menghadap ke kiblat berserta sepotong doa yang diberikan. Suami saya
terus memandikan bayi perempuan saya seperti yang disarankan oleh CikMan
tadi. Selepas dimandikan separuh badan bayi saya (dari pinggang
kebawah) bertukar menjadi lebam. Rupa-rupanya kami tersilap kerana mana
ada jenazah perempuan orang lelaki yang mandikan. Sekali lagi hati saya
tidak keruan, mencari hingga kemalam.
Keesokkannya pagi-pagi lagi
saya telah ke rumah mayat Hospital SHah Alam, menanti kalau-kalau ada
orang yang meninggal ketika itu. Allah Maha Penyayang dan akhirnya saya
bertemu dengan kawan lama yang kebetulan kematian datuk. Saya meminta
izin dari neneknya untuk meminta sedikit air lebihan mandian untuk
membuat ubat anak saya. Saya menceritakan dengan linangan air mata,
tersentuh hati saya bila nama bayi perempuan saya disebut.
Bila
air itu sudah diperolehi terus saja saya serahkan kepada CiMan (takut
ada sebarang kesilapan lagi). Cik Man meminta saya memandikan bayi saya
sendiri, tetapi saya tidak boleh kerana kedatangan haid, terpaksa ibu
yang mengambil alih tempat saya. Cik Man berpesan apa jua yang berlaku
pada malam itu beliau meminta kami semua bersabar dan sentiasa
mengingati Allah swt. Pintu dan tingkap diminta buka seluas-luasnya. Cik
Man meminta ibu tanakkan sepiring pulut kuning. Benar seperti apa yang
Cik Man katakan.
Malam itu adalah malam pertama saya mendengar tangisan bayi saya, tangisan yang saya rindu sejak beberapa bulan yang lalu.
Bayi saya meronta-ronta dan dengan spontan terasa seperti ada
imbasan angin yang keluar terus menuju ke pintu dapur rumah ibu. Dalam
masa yang sama terdengar suara ibu memekik dari dapur (seperti suara
orang terperanjatkan sesuatu) tutup pengukus pulut itu dipenuhi cecacing
dan ulat yang berwarna hitam. Adik lelaki saya mengucap dan terus
membuang ulat-ulat itu ke longkang.
Bila kesemuanya telah selesai,
Cik Man memberitahu tahu kepada saya, suami dan keluarga yang ada. Ada
seorang daripada ahli keluarga kami yang menziarahi jenazah yang
meninggal dalam kemalangan, kemudian balik dari ziarah terus menegur
bayi saya tu. Cik Man cakap itu badi mayat. Kebetulan waktu itu bapa
saudara saya pula sampai ke rumah untuk bertanyakan khabar bayi saya.
Rupa-rupanya orang yang Cik Man maksudkan itu adalah bapa saudara
saya, dia pun akui dan tak sangka perkara itu terjadi kpd bayi saya. Cik
Man menawarkan diri sekali lagi untuk merawat bayi saya sehingga
berusia setahun. Saya pernah sekali ke rumahnya dan membawa serba
sedikit keperluan dapur untuk dia dan isterinya. Gembira dan
bersyukurnya saya, kerana bayi saya sudah pandai bertatih. Sekian lama
selepas segala kesulitan itu terurai, saya bercadang untuk menziarah Cik
Man sambil membawa sedikit sedekah dan tanda terima kasih. Saya dan
mencari alamat rumah seperti yang diberikan oleh Cik Man.
Apabila
saya sampai ke alamat itu saya lihat disitu cuma ada sebuah rumah
tinggal yang papannya sudah pun berlumut. Saya bertanya dengan kedai
mamak yang berhampiran, tempat saya membeli keperluan dapur waktu
pertama kali saya bertandang kerumah Cik Man. Mamak tu kata rumah tu dah
bertahun-tahun kosong, tuan rumah tu tak ada waris. Saya dan suami
berpandangan sesama sendiri.
Barang yang telah terniat untuk Cik
Man saya sedekahkan ke surau yang berhampiran. Terima kasih, saya
sekeluarga terhutang budi kepada Cik Man (jika beliau masih hidup) dan
saya sedekahkan Al-Fatihah buat Cik Man jika dia benar-benar sudah
meninggal. Apa yang berlaku elok dijadikan pengajaran dan ikhtibar.