KARIER SAFEE SALI LEBUR | SUKAN - Nasib Mohd Safee Sali bersama skuad kebangsaan mungkin terancam apabila Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didakwa mengambil
tindakan menggantung 25 kelab Liga Super Indonesia (ISL).
Berita penggantungan membabitkan kelab diwakili Safee, Pelita Jaya FC
itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Datuk Azzuddin Ahmad yang menerima surat rasmi dari PSSI, lewat petang
semalam.
“Benar, FAM ada menerima laporan berhubung
penggantungan beberapa kelab dari pihak PSSI. Ia dinyatakan secara rasmi
dengan tujuan kelab-kelab yang digantung ini tidak boleh menjalin
sebarang hubungan rasmi dengan negara luar termasuk Malaysia.
“Antara kelab-kelab yang dimaksudkan itu adalah Pelita Jaya yang diwakili penyerang negara, Safee,” katanya.
Sebelum
ini kes penganjuran ISL yang didakwa sebagai ‘liga haram’ kerana tidak
diiktiraf PSSI hebat dibincangkan sejak tahun lalu hingga membabitkan
campur tangan Fifa yang mahu perkara itu diselesaikan segera Mac lalu.
ISL
sebelum ini adalah liga utama Indonesia sebelum kepimpinan baru PSSI
diterajui Djohar Arifin Husin mengiktiraf Liga Premier Indonesia hingga
liga negara itu terbahagi dua.
Bagaimanapun penggantungan oleh PSSI ke atas kelab Pelita Jaya
menimbulkan tanda tanya sama ada Safee yang menandatangani kontrak
lanjutan dua tahun dengan bayaran lebih RM2 juta bersama kelab itu boleh
menyarung jersi Harimau Malaya dalam tempoh penggantungan itu.
Azzuddin menegaskan, berdasarkan maklumat yang diberikan PSSI kedudukan Safee masih selamat.
“Tetapi, laporan itu tidak menyentuh berhubung larangan pemain negara
(Safee) untuk beraksi dengan skuad kebangsaan. Buat masa ini, FAM
dimaklumkan pemain atau mana-mana pasukan negara tidak dibenarkan
mengadakan sebarang urusan rasmi dengan kelab-kelab yang digantung itu,”
katanya yang enggan mendedahkan nama kelab terbabit.