HADI AWANG LEBIH LAYAK JADI PM BERBANDING ANWAR IBRAHIM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Presiden
Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak menjadi perdana menteri
berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jika pembangkang menang, sudah tentulah beliau (Abdul Hadi)
boleh menjadi perdana menteri. Beliau sangat layak, lebih layak daripada
Anwar, sebab beliau tidak ada sebarang bebanan sejarah," katanya.
Dr Mahathir, yang sebelum itu berucap pada Persidangan Antarabangsa
mengenai Kanak-kanak Menjadi Mangsa Peperangan di sini, mengulas
mengenai pendirikan perwakilan pada Muktamar Pas ke-58 baru-baru ini
yang mahu Abdul Hadi menjadi perdana menteri jika pakatan pembangkang
menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengulas mengenai ungkapan 'parti syaitan' yang dibangkitkan oleh Abdul
Hadi, Dr Mahathir berkata: "Beliau sendiri bekerjasama dengan syaitan,
itu syaitan yang saya tahu, beliau bekerjasama dengan syaitan itulah."
Dalam ucapannya pada muktamar Pas minggu lepas, Anggota Parlimen Marang itu mengkritik sebuah 'parti syaitan.'
"Parti syaitan yang dikuasai syaitan di dalamnya - syaitan yang orang
tahu - tidak mampu menegakkan kebajikan yang bernama adil terhadap
semua", kata Abdul Hadi dalam ucapan perasmiannya Jumaat lepas.