WANITA SARAT MENGANDUNG TIADA RUMAH, MEREMPAT DI SURAU - Dalam keadaan si isteri sarat mengandung anak pertama, sepasang suami isteri
hidup merempat dengan menumpang di sebuah surau sejak dua bulan lalu.
“Saya dijangka melahirkan anak pada 28 Disember ini, tapi tiada
persiapan yang mampu saya dan suami buat kerana nak makan tiap-tiap hari
pun kami pening,” kata Siti Nursyuhadah Syed Hasyim, 19.
Bakal ibu muda itu dan suaminya, Omar Bashri, 36, menjadikan Surau
Al-Mujib berdekatan Perumahan Awam Sri Johor, Cheras, di sini, sebagai
rumah mereka kerana kesempitan hidup di samping tidak mahu menyusahkan
keluarga.
Setiap pagi selesai solat Subuh, Siti Nursyuhadah
menanti Omar pulang membawa ulam-ulaman yang dikutip di kawasan sekitar
untuk dijual di depan kedai runcit kenalannya, terletak dua kilometer
dari surau tempat mereka tinggal.
Hanya itu pekerjaan yang mampu dilakukan Omar selepas dia
diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan berikutan penyakit
sawan kronik yang dihidapinya sejak berusia dua tahun.