(GAMBAR) SHAH RUKH KHAN PUJI BAJU KEBAYA EJA
Berkesempatan hadir dalam majlis sambutan hari lahir mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, pelakon wanita, Siti Shahreza atau Eja gembira dapat bertemu dengan pelakon Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan.
Eja yang hadir bersama suaminya ke majlis tersebut tidak menyangka dapat bergambar dan bertegur dengan Shah Rukh Khan.
Memandangkan Shah Rukh Khan adalah pelakon kesukannya, berdiri di sebelah jejaka itu menggembirakan lagi hati Eja.
“Syukur Alhamdulillah. Nampaknya dapat juga Eja berjumpa dan bersalaman dengan dua hero Eja iaitu Tun M serta satu-satunya pelakon lelaki pujaan Eja iaitu Shah Rukh Khan.
“Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan Eja sekarang,” kata Eja yang dipetik dari portal Murai.com.
Pada majlis itu, Eja telah menggayakan ‘Lady Kebaya’ rekaan pereka fesyen muda berbakat besar, Syaiful Baharim dengan solekan ringkas bersama dandanan rambut sanggul ke atas.
Walaupun pertama kali menggayakan pakaian rekaan Syaiful, ternyata penampilan Eja pada malam itu mendapat pujian dari Shah Rukh Khan.
Ini kerana, baju kebaya itu dipuji tinggi oleh Shah Rukh Khan.
Keadaan itu membuatkan Eja bertambah gembira kerana penampilan dirinya dipuji selain dapat berjumpa dengan pelakon hebat itu.
“Ini adalah pertama kali Eja menggayakan Syaiful Baharim setelah diperkenalkan oleh Ayie Ali. Ketika bertemu dengan Syaiful di butiknya di Bangsar, pereka itu ada menunjukan beberapa persalinan yang cukup indah.
“Tak sangka pula, apabila Eja berdiri di sebelahnya, dia melihat Eja dan memuji penampilan dan pakaian yang Eja pakai. Kami bersalaman dan Eja mengambil peluang untuk terus bergambar dengannya,” katanya.