TRAGEDI TONTON WAYANG - Kegembiraan empat sahabat menonton wayang di pusat beli-belah Mesra Mall di Kemasik, Kemaman bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran kawasan rekreasi Hutan Rimba Bukit Bauk di sini kelmarin.
Dalam kemalangan jam 11.20 malam, Nurul Syazwani Roslan, 20, dari Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu dan rakannya, Umi Fatihah Halim Shukri, 17, dari Rumah Murah Alur, Alor Lintang, Besut, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun akibat cedera parah di kepala dan badan.
Nurul Syazwani menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi manakala Umi Fatihah jam 12.30 tengah hari semalam.
Rakan mereka, Hasrul Arif Jamal Abdul Nasir, 22, cedera parah di kepala dan badan, manakala Nazli Mohd Jusoh, 30, yang memandu kereta Proton Waja terbabit hanya cedera ringan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat sahabat terbabit yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu hilang kawalan selepas melalui satu selekoh sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dari arah bertentangan.
Pemandu Proton Wira Aeroback, Mohd Jusoh Dollah, 40, berasal dari Taman Murni Perdana, Paka, dekat sini, cedera parah di muka dan patah kaki kanan.
Rakan kepada empat sahabat terbabit, Amirul Haziz Marzelan, 23, berkata, sebelum kejadian, mereka bertolak ke Mesra Mall, Kemasik, jam 2 petang dengan menaiki dua kereta.
Setibanya di tempat kejadian, dia terserempak kemalangan itu tetapi pada awalnya tidak menyangka ia membabitkan empat rakannya.
“Ketika itu hujan dan keadaan gelap, menyebabkan saya mengambil masa untuk mengenali kenderaan mereka.
“Namun, sebaik menyedari kenderaan terbabit milik rakan, saya segera memberhentikan kereta sebelum bergegas untuk memberi bantuan,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini, semalam.
Amirul berkata, Nazli berjaya keluar dari kenderaannya tetapi tiga rakannya tersepit di tempat duduk sebelum anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam tiba memberi bantuan serta mengejarkan semua mangsa ke Hospital Dungun.
“Ketika bersama arwah Nurul Syazwani di Mesra Mall, dia banyak bercakap dan bergurau dengan kami, dan saya tidak menyangka kegembiraan itu berakhir dengan kejadian menyedihkan,” katanya.