TRAGEDI TONTON WAYANG - Kegembiraan empat sahabat menonton wayang di pusat beli-belah
Mesra
Mall di Kemasik, Kemaman bertukar tragedi apabila dua daripada mereka
maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 87,
Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran kawasan rekreasi Hutan Rimba
Bukit Bauk di sini kelmarin.
Dalam kemalangan jam 11.20 malam, Nurul Syazwani Roslan, 20, dari
Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu dan rakannya, Umi Fatihah Halim
Shukri, 17, dari Rumah Murah Alur, Alor Lintang, Besut, meninggal dunia
ketika menerima rawatan di Hospital Dungun akibat cedera parah di kepala
dan badan.
Nurul Syazwani menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi manakala Umi Fatihah jam 12.30 tengah hari semalam.
Rakan mereka, Hasrul Arif Jamal Abdul Nasir, 22, cedera parah di
kepala dan badan, manakala Nazli Mohd Jusoh, 30, yang memandu kereta
Proton Waja terbabit hanya cedera ringan.
Kemalangan
dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat sahabat terbabit yang
dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu hilang kawalan selepas
melalui satu selekoh sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira
Aeroback dari arah bertentangan.
Pemandu Proton Wira
Aeroback, Mohd Jusoh Dollah, 40, berasal dari Taman Murni Perdana, Paka,
dekat sini, cedera parah di muka dan patah kaki kanan.
Ketika kejadian, Mohd Jusoh dikatakan dalam perjalanan pulang ke
rumahnya selepas melapah daging lembu untuk majlis perkahwinan anak
rakannya di Kampung Alur Tempoyak, di sini.
Rakan kepada
empat sahabat terbabit, Amirul Haziz Marzelan, 23, berkata, sebelum
kejadian, mereka bertolak ke Mesra Mall, Kemasik, jam 2 petang dengan
menaiki dua kereta.
Menurutnya, selepas menonton wayang jam 10.40 malam, mereka
bertolak pulang ke Kuala Terengganu dan keempat-empat mangsa menaiki
sebuah kereta, manakala dia mengekori dengan memandu sebuah kereta lain
bersama seorang lagi rakan, Mohd Hishammudin Zain Asmadi, 17.
Setibanya di tempat kejadian, dia terserempak kemalangan itu tetapi
pada awalnya tidak menyangka ia membabitkan empat rakannya.
“Ketika itu hujan dan keadaan gelap, menyebabkan saya mengambil masa untuk mengenali kenderaan mereka.
“Namun, sebaik menyedari kenderaan terbabit milik rakan, saya segera
memberhentikan kereta sebelum bergegas untuk memberi bantuan,” katanya
ketika ditemui di Hospital Dungun di sini, semalam.
Amirul
berkata, Nazli berjaya keluar dari kenderaannya tetapi tiga rakannya
tersepit di tempat duduk sebelum anggota bomba dan Jabatan Pertahanan
Awam tiba memberi bantuan serta mengejarkan semua mangsa ke Hospital
Dungun.
“Ketika bersama arwah Nurul Syazwani di Mesra Mall,
dia banyak bercakap dan bergurau dengan kami, dan saya tidak menyangka
kegembiraan itu berakhir dengan kejadian menyedihkan,” katanya.