Polis di barat daya China, menahan seorang lelaki disyaki membunuh lebih 20 remaja lelaki dan memotong badan mereka untuk dijual.Laporan media Hong Kong dan China mengatakan, polis membuat penemuan ngeri itu ketika menyiasat kehilangan beberapa remaja lelaki di wilayah Yunnan sejak beberapa tahun lalu.
Laman web Guanxi News melaporkan, Zhang Yongming, 56, ditahan dua minggu lalu di rumahnya di Kampung Nanmen di Yunnan dan kini disiasat di atas pembunuhan remaja 19 tahun lewat April lalu dan kehilangan lelaki lain.
Polis menyiasat rumah Zhang dan menjumpai telefon bimbit, kad bank dan beberapa bukti yang lain.
Laman web itu berkata, berpuluh remaja lain hilang dari kampung itu sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, Zhang seorang yang hidup bersendirian, tidak pernah bercakap dengan jirannya, pernah merengkuk di penjara selama 20 tahun kerana membunuh.
Di kampung itu dia dikenali sebagai “raksasa yang makan daging manusia.”
Laporan media itu turut memetik kata-kata jiran yang berkata, mereka nampak tulang putih terkeluar daripada beg plastik hijau yang digantung di rumahnya.
Akhbar Hong Kong, The Standard, melaporkan, polis menemui mata manusia yang disimpan di dalam botol wain, seperti “wain ular” dan potongan daging yang kelihatan seperti daging manusia digantung untuk dikeringkan, di rumah Zhang.
Polis berkata, Zhang mungkin memberi makan daging manusia kepada tiga anjingnya dan menjual daging bahagian lain di pasar dengan mengatakan ia daging “burung unta.”
Polis tempatan enggan memberi komen dan berkata maklumat akan diberi pada “masa yang sesuai” dan hampir semua laporan mengenai kes itu ditarik balik daripada laman web China, semalam.
Carian atas talian untuk “kehilangan di Yunnan” juga diblok.
Agensi berita rasmi Xinhua berkata, Beijing menghantar pasukan khas ke Yunnan untuk memantau siasatan kehilangan remaja tetapi tidak merujuk kepada butir mengerikan yang terkandung dalam laporan lain.
Polis berkata, keluarga mangsa pada mulanya menyangka mereka diculik dan dipaksa bekerja di kilang membuat batu.
Dua ketua polis dipecat dan kerajaan menggesa supaya kes itu diselesaikan dengan cepat.
SUMBER