BAJET BN, PR SANGAT BAGUS TAPI ... - Penyediaan subsidi yang diterapkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam Bajet 2013 masing-masing, yang dibentangkan baru-baru ini, tidak dipersetujui oleh Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan walaupun beliau menyifatkan belanjawan kedua-dua parti itu ada kelebihan sendiri.
"Banyak elemen yang bagus dalam kedua-dua bajet yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak sebelum ini (bulan lalu)," kata beliau.
“Terutamanya bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri mengenai peruntukkan kanak-kanak kurang upaya dan ini merupakan satu perkara yang bagus serta perlu disokong,” katanya.
Wan Saiful turut menyatakan persetujuannya dengan bajet yang diperkenalkan oleh PR, yang turut memasukkan soal penghapusan duti eksais kereta.
Bajet 2013 Kerajaan Pusat dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September lalu manakala Bajet PR dua hari sebelum itu. Kedua-dua BN dan PR dilihat menggunakan bajet kali ini sebagai 'modal politik' menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Dewan Rakyat sedang membahaskan Bajet 2013.
“Saya juga bersetuju dengan penghapusan duti eksais kereta yang diketengahkan oleh Pakatan.
“Tetapi saya kurang bersetuju dengan pemberian subsidi yang diterapkan dalam kedua-dua bajet, yang diketengahkan kerana bagi saya ia seperti menggalakkan rakyat untuk meminta-minta kepada kerajaan yang memerintah.
“Budaya meminta-minta di kalangan rakyat, kalau dibiarkan akan menjadi bahaya selain budaya meminta subsidi perlu selalu dipaparkan oleh media agar rakyat faham mengenainya,” katanya.
Wan Saiful turut meminta rakyat agar jangan mudah terpengaruh serta senang mengukur kewibawaan seseorang ahli politik itu berdasarkan ganjaran yang diberikan kepada mereka.
“Kita seharusnya jangan terima ahli politik yang seolah-olah mahu memberi ‘bribe’ kepada kita,” katanya ketika mengulas mengenai pemberian subsidi yang seolah-olah sudah menjadi budaya kepada rakyat di Malaysia.
Wan Saiful turut menambah, “tidak ada apa-apa yang perlu rakyat berterima kasihkan kepada bajet yang dibentangkan kerajaan kerana wang itu adalah dari rakyat sendiri."
Ketika ditanya moderator wacana, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek mengenai di antara kedua-dua bajet yang dibentangkan, yang mana satu lebih mapan dan bagus untuk pertumbuhan ekonomi, sosial dan keseluruhan untuk rakyat Malaysia, Wan Saiful berkata, “saya tak dapat beri jawapan kerana banyak risikonya."
“Rakyat Malaysia kena pindah dari budaya politik sokong parti tanpa tahu dasarnya.
“Secara umumnya, apa yang boleh saya katakan kedua-dua bajet adalah dalam bentuk ekonomi baru, sekali gus dapat membantu kadar ekonomi negara untuk lebih meningkat lagi pada masa akan datang,” katanya.
{ 1 ong gedek gedek... read them below or add one }
nice opinion.. hmmmm... btol jugak. subsidi ohhh subsidi..
11 October 2012 at 10:45
Post a Comment