Lebih Gosip Bersama katakcomel.my

Bayi Dibuang Dihurungi Semut

on 16 June 2012


Dua bayi perempuan termasuk seorang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam dua kejadian berasingan selang 14 jam di Taman Saujana Puchong dan USJ 12, dekat sini.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4.20 petang kelmarin, seorang lelaki terkejut apabila bungkusan hitam yang disangkakan kucing sebenarnya seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat diletakkan di tepi tong sampah di depan rumah jirannya.

Lelaki terbabit, S Prakash, 29, ketika ditemui berkata, dia diberitahu mengenai bungkusan itu oleh adiknya yang terdengar bunyi seperti bayi menangis di luar rumah.

“Saya kemudian keluar untuk melihat kandungan bungkusan itu sebelum dikejutkan dengan penemuan bayi perempuan yang tali pusatnya masih berdarah dan dihurung semut.

“Lebih menyedihkan, cuaca ketika itu panas terik dan bayi terbabit hanya dibungkus dengan baju-T hitam,” katanya .

Menurutnya, panik melihat tali pusat bayi itu masih berdarah, dia terus membawa bayi itu masuk ke rumahnya untuk dibersihkan sebelum menghubungi polis dan membawanya ke sebuah klinik di Batu 14, Bukit Puchong untuk rawatan lanjut.

Katanya, terdapat banyak kesan gigitan serangga di seluruh badan bayi terbabit.

Dalam kejadian kedua, seorang peniaga kios berdekatan sebuah sekolah menengah di USJ 12 menemui seorang bayi perempuan diletakkan di bahagian bawah tempat memasak gerainya kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Peniaga terbabit, Rusiah Hamzah, 48, berkata dia sedang membuka kios seorang diri apabila terlihat satu bungkusan diletakkan di bawah para kedainya yang bergerak-gerak.

“Pada mulanya saya menyangkakan ia tikus ataupun kucing, namun sebaik menyelak bungkusan selimut berkenaan, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati ia seorang bayi.

“Badan saya menggigil sebelum menghubungi suami dan anak-anak supaya segera datang memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Rusiah berkata, sebaik suaminya, Norizan Mahyuddin, 54, tiba, dia terus menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, dalam kejadian pertama, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.20 petang memaklumkan penemuan bayi berkenaan.

Katanya, keadaan bayi itu masih bertali pusat dipercayai cuba dipotong selain terdapat kesan tompokan merah di seluruh badan bayi itu akibat digigit semut.

“Bayi malang itu kemudian dibawa ke Hospital Kajang oleh kakitangan klinik berkenaan dan kita percaya bayi perempuan cukup sifat itu baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan pemeriksaan doktor,” katanya.

Dalam kes kedua, Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.15 pagi oleh saksi memaklumkan penemuan seorang bayi perempuan dalam kios perniagaannya berhampiran sebuah sekolah menengah di USJ 12, di sini.

Menurutnya, bayi itu ditemui dalam balutan sehelai kain berjalur kelabu dan ungu serta masih bertali pusat sebelum dihantar ke Hospital Serdang.

“Hasil pemeriksaan, kita percaya bayi itu dilahirkan antara dua atau tiga hari lalu, namun tidak dapat mengenal pasti bangsa bayi itu.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

SUMBER
Ranking: 5

{ 1 ong gedek gedek... read them below or add one }

Remy hazza said...

kasihan dekat bayi yg tak berdosa......
kejam sungguh pada sesiapa yg melakukan..... Moga Allah berikan petunjuk buat mereka.....


18 June 2012 at 00:44
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© katak comel All Rights Reserved